Thursday 26 March 2015

Mac Menduga

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pengunjung blog yang dikasihi dan dirahmati Allah. Apa khabar kalian semua?

Lebih sepurnama saya menyepikan diri dari menulis apa-apa entri di blog ini. Sepanjang tempoh tersebut, masa saya diluangkan lebih banyak untuk bersama keluarga. Hanya sekali-sekala muncul di media sosial seperti Instagram dan Facebook bertujuan mempromosi produk niaga.

Antara peristiwa besar berlaku sepanjang Mac 2015:
1) Anak sulung diuji dengan ekzema yang tiba-tiba memuncak ketika demam dan campak.
2) Suami demam dan keracunan makanan.
3) Pemergian Tok (nenek) di sebelah ayah.
4) Diri sendiri keracunan makanan dan demam panas.
5) Anak-anak muntah dan cirit-birit.

Walaubagaimanapun, Alhamdulillah kami sekeluarga redho dan cekal melaluinya sebagai hamba Allah yang bersyukur. Sebenarnya kami jarang diuji dengan masalah kesihatan. Jadi apabila ia berlaku, saya selaku ibu akan menumpukan lebih perhatian terhadap anak-anak. Mana mungkin hati saya senang berbisnes di atas talian sedangkan anak-anak perlukan saya.


Berbalik kepada tujuan asal saya mahu bekerja dari rumah, saya mahu utamakan anak-anak dalam hidup ini. Saya mungkin mengalami sedikit kerugian wang akibat kurang menjalankan aktiviti bisnes tetapi jauh di sudut hati ini, saya berasa syukur dan puas dapat bersama keluarga ketika saat mereka benar-benar perlukan saya.

Alhamdulillah semua ini Allah yang kurnia dan izinkan. Segalanya berlaku di bawah ketentuan Allah. :)