Thursday 10 December 2015

Tips Atasi Kedutan Pada Kain Felt

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pernah tak apabila membeli kain felt, tak kira lah felt lembut atau felt keras, keadaan kain yang anda terima kelihatan berkedut atau berlipat-lipat? Apakah perasaan anda apabila menerimanya?


Apa pun perasaan ketika itu, tarik nafas dan bertenanglah.

Tak ada masalah pun sebenarnya kalau kain felt ada kesan lipatan atau kedutan. Sama seperti kain lain, kain felt juga boleh diseterika. 

Material felt mempunyai kemungkinan untuk mengecut apabila terkena haba yang tinggi. Jadi seeloknya, gunakanlah suhu sederhana panas untuk menyeterika kain felt. Atau cadangan saya, lapik dahulu kain felt dengan sekeping kain cotton di atasnya sebelum mula seterika. Cara ini lebih selamat.


Harapnya selepas mengetahui info ini, anda tak lagi runsing jika menerima keadaan kain felt sebegini. Boleh diseterika menjadi licin dan kemudian boleh lah digunakan setiap inci kain tersebut tanpa merasa rugi.

Kepada pembekal kain felt pula, sebelum menghantar kain kepada pelanggan, seeloknya periksa dahulu kondisi kain. Berikan yang terbaik buat pelanggan. Pesanan dan peringatan ini saya tujukan khas buat diri saya sendiri.

Saya faham kadangkala stok kain yang kita borong itu sendiri pun berkedut dan berlipat. Tapi ada baiknya jika kita luangkan sedikit masa untuk seterika sedikit kain felt tersebut sebelum berikannya kepada pelanggan.

Pelanggan yang gembira akan berulang kali membeli dari kita.
Siapa yang untung? Sama-sama untung, Alhamdulillah. :)

Salam Jumaat.

Sunday 6 December 2015

Cuti Sekolah Disember


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca. 

Disember adalah bulan cuti sekolah. Ramai di kalangan ibu bapa biasanya akan mengambil cuti untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Inilah masanya anak-anak dibawa pergi melancong ke pelbagai destinasi sama ada di dalam atau di luar negara.

Anak-anak saya masih belum bersekolah rendah. Cuti sekolah atau tidak, sama sahaja. Tetapi bulan ini saya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada bisnes jahitan. Cuti lagi? Soal beberapa orang rakan. Saya hanya membalas dengan senyuman.

Sebenarnya anak bukan alasan rehat berbisnes. Cuma saya sebagai ibu, saya kerapkali berasa tidak senang menumpukan aktiviti bisnes di saat anak-anak aktif mahu belajar meneroka alam. Saya mahu sentiasa sediakan diri untuk bersama-sama mereka. :)

Renung kembali apakah yang mendorong saya menjadi wahm?
Ya, anak-anak. Jadi saya mesti utamakan anak-anak. ;)

Tuesday 1 December 2015

Mama Di Pa&Ma Disember 2015






Alhamdulillah. Terima kasih tim Pa&Ma, Puan Nurseda dan guru saya Puan Masayu Ahmad atas peluang untuk berkongsi cerita dan pengalaman dalam ruang Chit Chat majalah terbitan Disember 2015. Tentang keseronokan dan cabaran bekerja sendiri dari rumah.

Turut bersama saya, dua orang rakan yang juga ibu bekerja dari rumah. Sebelum ini kami hanya bertegur sapa di ruang Facebook. Kami juga masing-masing adalah ahli Akademi Bekerja Dari Rumah kelolaan Puan Masayu. Alhamdulillah Allah beri keizinan untuk bertemu mata buat pertama kali.

Sedikit tambahan cerita: Saya berhenti kerja di luar sahaja. Namun hakikatnya, kini melakukan kerja berganda-ganda banyaknya di dalam rumah sendiri. Homeschooling anak-anak sambil berniaga. Alhamdulillahillazi bi ni'matihi tatimmus soolihat.

Thursday 12 November 2015

Manfaatkan Pemasaran Percuma

Rujukan: Ebook 10 Langkah Mudah Bina Kedai Online.

Ada banyak cara untuk menggunakan peluang memulakan bisnes tanpa perlu mengeluarkan modal. Kebanyakan usahawan baru terlalu fokus kepada tidak ada modal, tidak ada pengalaman dan tidak tahu untuk bermula dari mana.

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil untuk bermula:

1. Kenalpasti dahulu apa minat yang boleh dijadikan satu permulaan untuk berniaga.

Anda minat dan ada kemahiran menjahit? Apakah jenis jahitan yang anda mahir? Kraf felt? Jahitan beg? Jahitan baju bayi dan kanak-kanak? Jahitan jubah dewasa? Jahitan seluar? Jahitan langsir? Sulaman? Quilting? Anda boleh jadikan bisnes jahitan kreatif ini sebagai bisnes pertama. Jika mahu mula bisnes kraf felt, boleh dapatkan khidmat nasihat dari saya sendiri atau baca asas jahitan kreatif ini di blog amalcreative.com ;)

2. Kenalpasti siapa pelanggan dan apa produk.

Golongan yang paling kerap membeli belah secara online adalah dari golongan ibu bekerjaya. Ibu suri pengurus rumah tangga juga tidak kurangnya. Kerap melayari internet untuk mencari bahan bantu belajar untuk anak-anak. Jadi buatlah sedikit penyelidikan dan ambillah peluang ini untuk menghasilkan produk-produk yang sentiasa mendapat permintaan dari golongan ini.

3. Fokus kepada pemasaran.

Pemasaran bukan sekadar menjual dan memperkenalkan jualan. Kenalpasti kehendak, keperluan dan permintaan pelanggan. Trend pelanggan sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Pelanggan perlu kenal dan faham produk yang ditawarkan. Kaedah promosi yang berkesan dan memberi impak signifikan amat diperlukan supaya mendapat perhatian pelanggan. Seterusnya barulah mereka cenderung untuk membeli.

4. Tidak mengeluarkan produk. Tetapi belajar untuk memasakan produk yang sudah sedia ada di pasaran. Kuasai pemasaran asas yang sangat membantu pemasaran produk dan bisnes.

Jika anda tiada kemahiran atau bakat tertentu yang boleh dijadikan bisnes pertama, usah khuatir. Mulakan dengan belajar memasarkan produk orang lain yang sedia ada  dan sememangnya sudah laku keras di pasaran. Belajar bagaimana untuk mendapatkan RM1 pertama, diikuti RM10 pertama, RM100 pertama dan RM1000 pertama anda. Kemahiran ini perlukan ilmu dan perlu dilakukan secara konsisten sebelum membuahkan hasil.

Kuasai pemasaran asas yang sangat membantu pemasaran produk dan bisnes.

Memanfaatkan laman sosial:

(1) Blogspot

Salah satu tapak awal yang boleh digunakan untuk mempromosi bisnes dan produk. Kenalpasti produk dan kenalpasti siapa pembaca atau pelanggan. Blogspot boleh dijadikan sebagai medium asas pemasaran yang boleh diterokai usahawan yang masih baru. Ia bukan sahaja sebagai tapak pemasaran, malah ia boleh digunakan sebagai agen pemasaran percuma yang memberikan impak luar biasa. Blogspot boleh dijadikan sebagai diari bisnes untuk usahawan dan juga boleh digunkan untuk membina kedai online. Kosnya adalah percuma dan boleh digunakan secara berterusan selagi mana ia sampai kepada sasaran pembaca atau pelanggan.

(2) Facebook

Salah satu trend adalah membina hubungan dan jaringan dengan lebih ramai pengguna yang menggunakan laman sosial ini untuk berhubung dan menjejaki lebih ramai kawan. Facebook juga sesuai bagai usahawan yang masih baru dan mahu belajar berjualan secara online. Ramai yang sudah pun mendapat impak positif hasil memasarkan produk melalui facebook.

Monday 9 November 2015

Persediaan Menyertai Booth Malaysia Children Islamic Fair 2015


Dari kecil hingga sekarang, anak ini memang ringan tulang. Subhanallah. Sentiasa menghulurkan bantuan walau tanpa dipinta. Foto di atas adalah foto malam tadi. Muhammad Wafiy membantu Mama mengasingkan buttons untuk Mama gamkan di atas flash felt.

Sebenarnya tugasan ini agak memeningkan kepala saya. Ditambah pula dengan jumlahnya yang agak banyak dan mengambil masa saya yang amat bernilai seperti emas.

Elok juga saya agihkan tugasan ini kepada Wafiy. Antara aktiviti yang bagus untuk kanak-kanak. Belajar mengasingkan butang mengikut kategori haiwan. Juga anak-anak dapat belajar mengira.

Baik, untuk pengetahuan semua pembaca yang saya hormati, insyaAllah stok flash felt nombor dengan butang istimewa ini bakal berada di Malaysia Islamic Children Fair 2015 hujung November ini di SACC Mall Shah Alam.

Harga jualan akan diumumkan nanti. InsyaAllah. ;)

Sunday 1 November 2015

November

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Menuju penghujung 2015.
Semak kembali azam dan matlamat tahun ini.


Adakah semuanya sudah dicapai?
Masih ada 2 bulan untuk tingkatkan pecutan.

Hari-hari fikir macam mana nak tambah pendapatan.
Hari-hari fikir cara nak promosikan produk.
Hari-hari fikir cara nak tarik pelanggan.
Tapi buntu, tak tahu nak mula.

Nampak orang lain buat bisnes macam senang.
Macam lebat saja duit yang masuk.

Tahukah anda, 
Mereka semua telah melalui fasa perjalanan yang mencabar.
Ramai yang telah berkongsi pengalaman.
Ambil iktibar dan belajarlah dari mereka.

Saya akui, perjalanan bisnes menuntut pengorbanan yang tinggi.
Lebih-lebih lagi andai mahu menjadi wahm.
Anda perlu bijak bahagi masa antara keluarga dan bisnes.
Menguruskan masa perlukan latihan yang bukan sehari dua.

Sambung coretan nanti.

Saturday 24 October 2015

Projek Busy Book

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Menuju penghujung 2015.
Semak kembali azam dan matlamat tahun ini.


Adakah semuanya sudah dicapai?
Masih ada dua bulan untuk tingkatkan pecutan.

Hari-hari fikir macam mana nak tambah pendapatan.
Hari-hari fikir cara nak promosikan produk.
Hari-hari fikir cara nak tarik pelanggan.
Tapi buntu, tak tahu nak mula.

Nampak orang lain buat bisnes macam senang.
Macam lebat saja duit yang masuk.

Tahukah anda, 
Mereka semua telah melalui fasa perjalanan yang mencabar.
Ramai yang telah berkongsi pengalaman.
Ambil iktibar dan belajarlah dari mereka.

Saya akui, perjalanan bisnes menuntut pengorbanan yang tinggi.
Lebih-lebih lagi andai mahu menjadi wahm.
Anda perlu bijak bahagi masa antara keluarga dan bisnes.
Menguruskan masa perlukan latihan yang bukan sehari dua.

Sambung coretan nanti.

Friday 23 October 2015

Printed Polyester Felt


Hari tu potong plain polyfelt.
Hari ni potong printed polyfelt.

Mudah customer nak beli nanti.
Kita offer by pack lah.
Tak minat animal printed.

So yang ada:
Polkadot, chevron and heart.
Belang2 nak jugak ke?
Warna mana yang best pilihan ramai?

Dalam starter set pun,
InsyaAllah ada printed felt.

Sunday 11 October 2015

Tindakan Adalah Penentu

Dalam bisnes, perkara paling penting adalah TINDAKAN.

Sertailah mana-mana kelas bisnes pun. 
Saya percaya setiap satunya ada kekuatan tersendiri.

Ilmu Allah ini amat luas. 
Lain guru bisnes, lain pendekatannya.

Untuk berjaya dalam bisnes, 
Sebenarnya ia berbalik kepada diri sendiri.

Ilmu yang dipelajari, kalau balik buat pekasam, 
Maka pekasam lah yang kita dapat.

Tapi jika kita balik dan ada tindakan susulan secara praktikal,
InsyaAllah saya yakin ada manfaatnya untuk bisnes kita.

Saturday 10 October 2015

BigShot Kembali Bertugas


BigShot melapor diri setelah hampir setahun bercuti. Selamat kembali bertugas lah ya.

Tempahan pertama saya ambil untuk tahun ini. Mak sedara nak buat reunion. Jadi beliau tempah cenderahati. Rose brooch, ribbon bow brooch dan fridge magnet. Ada 75 pcs nak kena buat ni.
Alhamdulillah.

Friday 9 October 2015

Proses Pemotongan Kain Felt


Cik Amal kerja overtime nampaknya malam ni. Alhamdulillah 'ala kulli haal.

Ramai mak-mak super rajin, dok mai pm tanya ada juai ka kain felt? Pakat nak jahit busy book untuk anak rupanya. MashaAllah I like sangat-sangat.

Asalnya Cik Amal nak berhenti supply kain felt. Dok pendam hampir setengah tahun dah niat tu. Tapi kan, lagi banyak stok menyusut, lagi ramai pula dok mai pm tanya.

Aih tak sampai hati kalau tak tolong. Depa dok kata kain felt depa beli tak berapa best. Nipis lah. Berbulu-bulu lah. Warna tak berapa berkenan di hati lah. Macam-macam.


Di Amal Creative, kami ada polyester felt dengan ketebalan 1.4mm. Yang ni saya akui memang best. Dari pertama kali buat felt craft sampai hari ni, saya memang prefer felt ni saja untuk kategori felt keras.

Best dan berkualiti. Sampai saya sendiri yakin untuk jual kepada rakan-rakan crafters selain guna untuk siapkan tempahan bisnes sendiri.

Jadi dengan ini saya nak umumkan, insyaAllah Amal Creative kembali jual kain polyester felt ni secara serius. Next week insyaAllah kami restock warna mana yang dah habis ok.

Makluman tambahan:

Colour code dalam gambaq tu saya ada juai. Senang buat rujukan nak pilih warna kain untuk next purchase. Yang botol merah sebelah gunting tu pun saya juai. Kiki.. Minyak habbatussauda'. Buat sapu tadi, semut api tiba-tiba muncul mai ketik kaki masa dok sedap-sedap potong kain. Sat saja hilang gatai tu.

Hasil kerja tengah malam tadi. Alhamdulillah siap dah potong ke saiz 30x33cm (+/- 1cm). Warna hitam habis langsung. Warna putih ada beberapa keping. Next week insyaAllah restock. Yang ini nak order pun boleh dah.

Saturday 3 October 2015

Ziarah Sekoci Norlie

Pulang dari pejabat Karangkraf pada dua hari lepas, Alhamdulillah saya berpeluang singgah di Sekoci Craft House. Rumah khas yang digunakan oleh pemiliknya Puan Norliza Samingon untuk menjalankan aktiviti kraf beliau.


Usahawan kraf felt Malaysia semua mesti kenal Puan Norliza yang lebih mesra membahasakan dirinya Acik Norlie di sebelah saya ni kan? :) Comel molek sampai saya pun sudah kelihatan besar di sisinya. Ahaha.

Buku yang saya pegang itu pula, felt crafter sekalian mesti beli. Yes, it's a must buy book! Ada banyak teknik dan tutorial menghasilkan bunga dari felt. Teknik jahitan asas dan pola pun ada.

Saya harap suatu hari nanti saya pula dapat 'lahirkan' buku macam Acik Norlie. Sekarang dalam misi siapkan buku digital. Bonus jika saya dapat terjemahkannya dalam bentuk fizikal pula.

Thursday 1 October 2015

Bertemu Alumni ABDR di Karangkraf

Kami bertiga adalah alumni Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Selama ini hanya berkenalan dan bertegur sapa secara online di Facebook.


Pagi tadi bertemu bersua muka di satu sesi fotografi. Alhamdulillah. Seronok berbual dan bertukar cerita dengan adik-adik saya ini walau hanya sekejap saja.

Thursday 24 September 2015

Glitter Flatback Resin


Blur sikit gambar. Tapi masih nampak kecomelan resin semua ni kan? 😃 InsyaAllah minggu ni Amal nak order. Siapa nak warna dan design tertentu dalam jumlah yang banyak, whatsapp Amal. Nanti kita adjust okeh.
 

Berminat nak borong?

Amal bagi special price.
Boleh pilih design dan warna.

Klik terus link di bawah.

Retail price: 12pcs RM6.00 😊
Saiz boleh rujuk di gambar

Sunday 20 September 2015

Tips Jahit Garis Senyuman


Jom saya tunjukkan cara menjahit garis senyuman di atas kain felt.

1. Saya guna benang jahit biasa.
2. Tetapi saya gandakan menjadi 4 lapisan benang.
3. Tujuannya supaya lebih jelas nampak dan lebih cantik.
4. Sebelum jahit, buat garisan menggunakan air erasable pen.
5. Gunakan teknik jahitan kia.
6. Pastikan jahitan itu rapat.
7. Panjang garis jahitan kira-kira 3-4mm.

Ada yang menggunakan benang jeans atau benang crochet. Terpulang, mengikut keselesaan sendiri. Saya lebih suka guna benang biasa saja. Harga benang jauh lebih murah dan mudah didapati. ;)

Mencari air erasable pen? Kami ada jual. :)

Wednesday 2 September 2015

1 Usahawan Seni Kreatif, 1 Blog.

Blog masakan dan blog resepi sudah ada terlalu banyak.
Taip saja di enjin carian, beratus-ratus blog tempatan keluar.

Blog kraf tangan?
Blog jahitan?
Blog seni kraf kreatif?

Berapa banyak blog sebegini yang ditulis dalam bahasa kebangsaan?

Rakan-rakan usahawan seni kreatif sekalian,

Mahukah kita sama-sama memeriahkan dunia online dengan hasil tulisan dan hasil kerja kita?
Mahukah kita kongsi serba sedikit kemahiran dan pengetahuan yang kita ada untuk memberi manfaat kepada orang lain?

Asyik kongsi blog dari luar negara saja.
Kita sendiri, bila mahu mula menulis?

1 usahawan seni kreatif, 1 blog.
Jom kita sama-sama realisasikan. :)

Sunday 9 August 2015

Syukur Selalu

Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.
Pengalaman baru setiap hari, setiap kali.

Adakala kita meminta, Allah terus beri.
Adakala kita meminta, Allah tangguhkan dahulu.
Adakala kita belum sempat meminta, Allah sudah beri dahulu.
MashaAllah tabarokallah.

Allah lah yang paling tahu apa yang terbaik buat hambaNya.
Syukur selalu!

:)

Tuesday 26 May 2015

Hijaiyyah Flash Felt


Assalamualaikum dan bertemu kembali.

Alhamdulillah dalam kesibukan saya menguruskan anak-anak, bulan Mei ini saya tekadkan hati untuk menyiapkan projek baru yang sudah sekian lama 'diperam' di makmal jahitan saya. 10 set Hijaiyyah Flash Felt berjaya dijual dalam masa seminggu selepas saya mempromosikannya di Facebook dan Instagram. Alhamdulillah.

Sunday 5 April 2015

Tutorial Kad Imbas Felt (Flash Felt)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ketika ke udara secara langsung dalam rancangan Assalamualaikum Tv Al-Hijrah pada Februari 2015 yang lepas, saya telah menunjukkan sepintas lalu langkah-langkah menghasilkan kad imbas dari kain felt. Setelah itu, ramai yang menghubungi saya melalui Facebook, sms mahupun email, memohon saya kongsikan semula secara bertulis dan dengan lebih terperinci tutorialnya.


Bahan-bahan dan peralatan yang digunakan:

Kain polyester felt pelbagai warna yang berkualiti.
Gam UHU atau gam tembak.
Pembaris.
Pen atau pensel penanda.
Pensel.
Kertas.
Gunting.
Plier.
Eyelet plier.
Rantai bebola (ball chain).
Benang.
Jarum.

Langkah-langkah menghasilkannya:

1) Potong dua keping kain felt bersaiz 4 inci x 3 inci.
2) Cantum kedua-dua kain dengan

Thursday 26 March 2015

Mac Menduga

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pengunjung blog yang dikasihi dan dirahmati Allah. Apa khabar kalian semua?

Lebih sepurnama saya menyepikan diri dari menulis apa-apa entri di blog ini. Sepanjang tempoh tersebut, masa saya diluangkan lebih banyak untuk bersama keluarga. Hanya sekali-sekala muncul di media sosial seperti Instagram dan Facebook bertujuan mempromosi produk niaga.

Antara peristiwa besar berlaku sepanjang Mac 2015:
1) Anak sulung diuji dengan ekzema yang tiba-tiba memuncak ketika demam dan campak.
2) Suami demam dan keracunan makanan.
3) Pemergian Tok (nenek) di sebelah ayah.
4) Diri sendiri keracunan makanan dan demam panas.
5) Anak-anak muntah dan cirit-birit.

Walaubagaimanapun, Alhamdulillah kami sekeluarga redho dan cekal melaluinya sebagai hamba Allah yang bersyukur. Sebenarnya kami jarang diuji dengan masalah kesihatan. Jadi apabila ia berlaku, saya selaku ibu akan menumpukan lebih perhatian terhadap anak-anak. Mana mungkin hati saya senang berbisnes di atas talian sedangkan anak-anak perlukan saya.


Berbalik kepada tujuan asal saya mahu bekerja dari rumah, saya mahu utamakan anak-anak dalam hidup ini. Saya mungkin mengalami sedikit kerugian wang akibat kurang menjalankan aktiviti bisnes tetapi jauh di sudut hati ini, saya berasa syukur dan puas dapat bersama keluarga ketika saat mereka benar-benar perlukan saya.

Alhamdulillah semua ini Allah yang kurnia dan izinkan. Segalanya berlaku di bawah ketentuan Allah. :)

Thursday 12 February 2015

Perginya Seorang Murobbi


12 Februari 2015 bersamaan 22 Rabiul Akhir 1436, jam 9.40 malam telah pulang kepada Al-Khaliq, seorang tokoh pejuang Islam yang mashaAllah sangat luar biasa hebat figuranya.

Antara banyak-banyak poster yang muncul di Facebook newsfeed hari ini, saya amat tertarik dengan poster kata-kata Alllahyarham Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat yang dikongsikan oleh pihak PTS. Ia berkenaan pentingnya buku sebagai peneman kita. Sebaik-baik buku yang ada di muka bumi ini ialah Al-Quran. Ibarat peta dalam kehidupan, Al-Quran akan menunjukkan arah jalan yang benar untuk mencapai matlamat mencari redho Allah dan akhirnya ke Syurga.

Apabila menyebut buku, sudah tentulah ia amat berkait rapat dengan amalan membaca. Ayat pertama yang diturunkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W juga adalah ayat suruhan "Iqra'" yang bermaksud 'bacalah'. Membaca insyaAllah akan menambahkan ilmu kita. Insan yang banyak membaca biasanya insan yang banyak berfikir.

InsyaAllah, semoga saya berhasil menyiapkan beberapa buah buku sebagai sumber bacaan dan doakan agar ia akan menjadi salah satu sumbangan saya untuk agama dan masyarakat.

Sunday 8 February 2015

Amal Creative Di Assalamualaikum TV Al-Hijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah Ahad 8 Februari 2015 mencatat satu lagi kenangan manis. Saya diundang untuk bersiaran secara langsung di pentas Assalamualaikum, sebuah program bual bicara dengan pengisian santai berunsur Islamik terbitan TV Al-Hijrah. Assalamualaikum bersiaran setiap hari bermula jam 8.30 hingga 10.30 pagi.


Pagi tadi Assalamualaikum dihoskan oleh Saudara Fazlan dan Saudari Nadzirah. Saya dijemput untuk mengisi slot DIY dengan tema kraf tangan felt. Antara produk kraf tangan felt yang sempat saya kongsikan adalah langkah-langkah menghasilkan flash card dari kain felt dan penanda buku.

Saya juga sempat menunjukkan demonstrasi menggunakan Big Shot, mesin pemotong kain felt. Saudari Nadzirah turut mengambil peluang untuk cuba menggunakan Big Shot.


Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih buat penerbit dan krew rancangan Assalamualaikum TV Al-Hijrah kerana menjemput Amal Creative. Ucapan terima kasih khas buat sahabat sekolah saya Saudari Amie Sofia yang membuat lamaran awal. InsyaAllah andai ada rezqi, saya dan Amal Creative bersedia memberi kerjasama lagi. :)

Foto bersama anak-anak: Sebenarnya saya agak baru habis berpantang bersalin 100 hari. Rezqi baby M, Mama bawa berjalan ke studio. Alhamdulillah. Gambar dalam set pun tak dapat ambil. Encik Suami bantu jagakan anak-anak di bilik tetamu. ;)

Assalamualaikum TV Al-Hijrah

Assalamualaikum.
Hai semua! 
InsyaAllah dengan sukacitanya esok pagi kami akan 
berkongsi idea tentang seni kraf tangan felt 
secara langsung dalam rancangan 
Assalamualaikum di Tv Al-Hijrah.

Nak tahu projek apa yang bakal kami tunjukkan, 
mesti tonton rancangan Assalamualaikum ok. :) 

Amal,
Amal Creative

Saturday 31 January 2015

Jenis-Jenis Butang Hiasan

Alhamdulillah hari ini seperti yang dijanjikan, saya akan berkongsi pula tentang jenis-jenis butang yang biasanya saya gunakan dalam hasil seni kraftangan felt. Untuk memudahkan kefahaman pembaca, saya bahagikan jenis butang mengikut kategori berbeza.

Kategori berdasarkan bahan pembuatan butang:
1) Resin
2) Plastik
3) Kayu


Kategori berdasarkan lubang butang:
1) Butang dua lubang
2) Butang empat lubang 


Kategori berdasarkan tapak bawah butang:
1) Butang berlubang
2) Butang berkaki
3) Butang belakang rata


Ada juga butang lain yang mempunyai fungsi selain sebagai hiasan. Contohnya butang katup dan butang bungkus. Butang seperti ini biasanya digunakan sebagai butang mencantum antara dua kain.

Diharapkan dengan penerangan ringkas tentang jenis-jenis butang, dapat membantu anda membuat pilihan semasa memilih butang. :)

Wednesday 28 January 2015

Menghitung Tamatnya 100 Hari Berpantang

Alhamdulillah kini menghitung hari untuk menghabiskan sesi berpantang menjahit 100 hari. Tinggal lebih kurang 10 hari sahaja lagi. Selepas itu, saya berhajat untuk kembali menerima tempahan menjahit kraftangan felt. Namun, dalam jumlah yang terhad.

Putera bongsu sudah semakin bijak menarik perhatian Mamanya. Riuh rendah suasana di rumah dengan suara anak-anak. Abang suka mengusik Kakak. Kakak pula suka menjerit kuat lantas mengejutkan Adik yang sedang tidur. Jika Abang dan Kakak tidur setelah penat belajar dan bermain, Adik pula mengajak Mama berbual-bual. Masa di siang hari lebih tertumpu kepada anak-anak.

Sebagai ibu yang bekerja dari rumah, anak-anak adalah prioriti utama. Hanya setelah selesai urusan anak-anak, baru lah saya beralih perhatian terhadap pengurusan bisnes. Doa saya agar punya kesempatan dan kelapangan waktu untuk terus bekerja dari rumah sambil mendidik anak-anak di rumah.

Tuesday 27 January 2015

Koleksi Butang Peribadi

Koleksi butang di makmal jahitan saya tidaklah sebanyak mana. Ada butang yang dibeli untuk kegunaan sendiri. Ada juga butang yang dibeli borong untuk dijualkan semula pada harga yang berpatutan.

Asalnya saya tidak pernah terfikir untuk menjadi salah seorang pembekal butang. Namun apabila saya seringkali ditanya tentang tempat saya membeli butang, saya mula terfikir kenapa tidak saya sendiri yang menjualnya. Lebih mudah untuk membantu kawan-kawan yang ingin mencari butang-butang comel dan menarik. Kesemua butang saya diperoleh daripada pemborong tempatan.




Butang yang berwarna-warni dan beraneka corak seakan menjadi terapi buat diri. Alhamdulillah hingga ke hari ini saya masih belum jemu menatap dan 'bermain' bersama butang. Dalam setiap jahitan kraf tangan felt, saya suka menggunakan elemen butang untuk menambahkan lagi seri seni jahitan.

Ada beberapa jenis butang berbeza yang sering saya gunakan dalam seni kraf tangan felt. InsyaAllah saya akan sambung ceritanya dalam entri esok. :)

Sunday 25 January 2015

Rahsia Di Sebalik 'Mahal'nya Produk Kraf Tangan Felt

"Mahal sangat lah!"
"Keychain macam ni je pun RM5.00?"
"Tak boleh ke jual keychain ni sebiji RM1.00? Saya nak beli 10."
"Bahan nampak murah. Tapi kenapa mahal sangat jual?"

Sejujurnya sebelum saya melibatkan diri dalam bidang seni jahitan kraf, saya juga pernah menyuarakan soalan-soalan yang sama di dalam hati. Mungkin atas faktor kurangnya pendedahan terhadap kerja-kerja seni membuatkan diri saya kurang empati.

Benarkah produk kraftangan seringkali mahal harganya?

Bagi saya, mahal atau tidak itu sebenarnya bergantung kepada penilaian individu. Individu yang tahu menilai dan tahu menghargai hasil seni halus kraf, sudah tentu tidak akan mempertikaikan harga yang telah pun ditetapkan pada satu-satu produk kraf.


Produk kraftangan tidak sama dengan produk terhasil dari kilang. Mengapa?

1. Produk kraftangan adalah

Jenis-Jenis Hiasan Pada Kraf Tangan Felt

Cuba anda perhatikan pada 2 keping gambar di bawah.

Hiasan gantung di kereta.

Penggantung kad identiti.

Dapatkah anda mengenal pasti jenis hiasan yang dijahit atau dilekatkan pada kain felt? Mungkin ada yang selalu anda lihat. Tetapi mungkin juga ada hiasan yang membuatkan anda tertanya-tanya tentangnya. Jadi insyaAllah hari ini saya akan kongsikan jenis hiasan yang boleh digunakan untuk mencantikkan lagi produk felt kita.


1) Butang: Material yang paling kerap digunakan oleh pengusaha kraftangan felt di Malaysia. Bentuk dan coraknya yang pelbagai serta mudah digunakan, membuatkannya menjadi pilihan utama dalam menghias kain felt. Boleh digam atau lebih baik dijahit supaya kedudukannya tetap di atas kain felt.

2) Felt applique: Boleh direka sendiri kemudian dipotong secara manual menggunakan gunting atau dipotong menggunakan Big Shot. Felt applique dapat dilekatkan dengan kukuh dengan menggunakan gam UHU jika felt ditemukan dengan felt. Jahitan felt applique ke atas felt (contohnya pada bantal) adalah lebih digalakkan.

3) Brads: Diperbuat daripada material besi. Ia mempunyai 2 cangkuk yang dapat dibengkokkan di belakang. Cangkuk ini akan dimasukkan ke dalam lubang yang dibuat di atas kain felt. Kemudian cangkuk ini akan ditekan rapat ke felt supaya ia tidak bergerak.

4) Padded applique: Applique ini biasanya dari jenis kain berspan amat nipis, Boleh dilekatkan mahupun dijahit di atas felt.

5) Manik: Walaupun ia jarang digunakan, namun jika jahitan manik ini kena pada tempatnya maka ia akan menjadi seni halus yang amat cantik pada kain felt.

Friday 23 January 2015

Tips Menetapkan Harga Jualan Produk Kraf Tangan Felt

Assalamualaikum dan salam Isnin penuh luar biasa ceria.

MashaAllah, hari ini saya rasa amat bersemangat mahu berkongsi satu entri yang sudah lama benar saya ingin tulis. Boleh dikatakan kerapkali juga peti mel saya dikunjungi pertanyaan dari usahawan-usahawan baru kraftangan felt yang ingin belajar cara menetapkan harga jualan kraf mereka.

Baik, saya mulakan dahulu dengan formula asas yang biasa saya gunakan. 

Harga Kos Produk = (Kos Bahan + Kos Upah) x 2*
*Boleh juga didarab dengan 3 atau 4, bergantung kepada cara operasi bisnes anda.

Formula ini sesuai digunakan oleh usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang kraftangan felt dan bisnes itu diusahakan secara persendirian dari rumah. Bagi usahawan kraf pada skala besar, ada lagi kos-kos tersembunyi yang sepatutnya dimasukkan juga dalam pengiraan harga kos produk. Contohnya bil elektrik, sewa kedai, kos pengangkutan, kos peralatan-peralatan yang digunakan dan lain-lain.

Contoh situasi: 
Menetapkan harga sebiji rantai kunci huruf.


Kos bahan-bahan:
3 keping felt 5cm x 5cm = RM0.30
1 biji rantai kunci = RM0.30
1 biji butang = RM0.10
6 cm reben grossgrain = RM0.10
1 keping kadbod 5cm x 5cm = RM0.10
Benang = RM0.10
Jumlah kos bahan = RM1.00

Kos upah:
Katakan masa untuk menyiapkan sebiji rantai kunci ini adalah 30 minit.
Jika ada pekerja, anda membayarnya upah menjahit RM4.00 untuk 1 jam.
Jadi kos upah = RM4.00 bahagi 2 = RM2.00

Oleh itu, harga kos produk = (RM1.00 + RM2.00) x 2 = RM6.00

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa perlu adanya kos upah sedangkan anda lah bos, anda lah juga pekerja yang menyelesaikan tugas menjahit. Keperluan kos upah hanya akan jelas apabila anda menerima tempahan yang banyak.

Katakan anda menerima tempahan 500 set rantai kunci. Anda boleh menyiapkannya sendiri tetapi adalah lebih bijak sekiranya anda mengupah seorang pembantu untuk turut sama menyelesaikan tempahan. Jadi kos upah itu sebenarnya adalah nilai upah yang anda akan bayar kepada pembantu tersebut.

RM6.00 untuk sebiji rantai kunci mungkin kedengaran amat mahal bagi kebanyakan dari kita rakyat Malaysia. Melihat kepada kos bahan yang cuma bernilai RM1.00 mungkin ada yang beranggapan bahawa usahawan tersebut sengaja ingin meraih untung yang tinggi sebanyak RM5.00. Mereka lupa akan kos-kos tersembunyi yang perlu ditanggung oleh usahawan tersebut.

Saya agak terkilan kerana produk kraftangan di Malaysia masih belum mencapai tahap yang sepatutnya ia dihargai. Sangat berbeza dengan negara luar. Jarang sekali harga produk kraftangan dipertikaikan. Mereka amat tahu menghargai seni dan menghargai masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan satu-satu jenis produk.

Didoakan entri hari ini, sedikit sebanyak dapat membantu anda yang masih ragu-ragu tentang cara penetapan harga kraf hasil sentuhan unik jari-jemari anda. Usah berasa segan-segan menetapkan harga yang setanding dengan kualiti jahitan dan kualiti material kraf yang anda gunakan. Pastikan harga produk anda setimpal dengan usaha dan kualiti yang ditawarkan.

Bersamalah kita menyokong dan menghargai produk kraf tempatan! :)

======================================

Update 19 Januari 2016:

Ini baru harga kos. Rupanya 'tergantung'. Belum dikira hingga HARGA JUAL rupanya.
Jadi, berapa harga jual? Berapa nilai untung yang anda mahu? :)
Tambahkan pada persamaan di atas untuk mendapatkan harga jual.

Jika ada pelanggan yang mahu beli secara borong, adakah pengiraannya sama?

Saya tinggalkan dahulu pembaca dengan soalan.
Ada jawapannya? Ada pandangan untuk dikongsi bersama?

Monday 19 January 2015

Amal Creative di Instagram

Selamat berhujung minggu semua!
Mal nak tanya.
Siapa ada akaun Instagram?

Jemput follow Instagram Amal Creative
@amalcreative
@amalcreative
@amalcreative

Biasanya di Instagram ni saya suka upload gambar work in progress. Tapi dalam sebulan dua ni yang banyaknya gambar craft supplies seperti Big Shot, dies dan buttons lah. Cuti berpantang menjahit kan. InsyaAllah lepas saya kembali menjahit ni, akan ada lah semula gambar-gambar behind the scene. Gambar proses menyiapkan order.

Mesti follow ya Instagram Amal Creative.
Terima kasih. :)

Saturday 17 January 2015

Jenis-Jenis Mata Pemotong (Cutting Dies)

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu.

Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang mesin pemotong kain felt yang bernama Sizzix Big Shot. Ada saya sebutkan bahawa tanpa dies atau tanpa mata pemotong maka Big Shot tidak akan dapat digunakan dengan cara sepatutnya. Jadi hari ini saya akan kongsikan pula tentang jenis-jenis dies yang biasa saya gunakan.

Sizzix bukan sahaja mengeluarkan Big Shot, malah mereka turut mengeluarkan dies jenama sendiri. Dies terbahagi kepada beberapa jenis mengikut saiz dan fungsinya. 


Dies yang biasa saya gunakan adalah dari jenis dies foam hitam tebal dan dies rangka besi nipis. Dies foam hitam tebal menjadi kegemaran saya walaupun harganya lebih tinggi. Dies jenis ini dapat menjimatkan masa dan menjimatkan tenaga kerana ia boleh memotong kain felt sebanyak 4 keping secara serentak. Manakala dies rangka besi nipis pula, boleh memotong hanya sekeping kain felt dalam satu masa. Harganya? Tentulah lebih murah berbanding dies tebal.

Dies rangka besi nipis.

Dies foam hitam tebal.

Reka bentuk dies yang ada di pasaran ditentukan oleh syarikat pengeluar dies itu sendiri. Walaupun saya lebih gemar dengan dies tebal, tetapi jika reka bentuk yang saya inginkan ada pada dies nipis sahaja, maka saya tiada pilihan untuk tetap menggunakannya.

Selain dies keluaran Sizzix, saya juga menggunakan Die-namic dies dari My Favourite Things dan dies dari Memory Box. Kedua-dua jenama ini biasanya hanya mengeluarkan dies jenis rangka besi nipis. Namun, reka bentuk dies yang dihasilkan sentiasa mampu membuatkan bakal pembeli rambang mata untuk memilih.

Friday 16 January 2015

Idea Buku Kain Aktiviti Untuk Kanak-Kanak

Sewaktu leka membelek ratusan gambar di Pinterest, ada satu projek kraf felt yang amat menarik perhatian dan minat saya. Projek menghasilkan 'Busy Book' atau mungkin juga boleh diistilahkan sebagai 'Buku Kain Aktiviti' bagi kanak-kanak.

Sumber: http://thecraftingchicks.com

Sumber: http://www.sawdustandembryos.com/

Buku ini dihasil dengan menggunakan kain felt sebagai bahan asas. Tambahan zip, butang, reben, manik dan pelbagai lagi material kraf digunakan untuk mereka bentuk pelbagai jenis aktiviti menarik. Ada di antara laman web tersebut menunjukkan satu persatu cara untuk menghasilkan buku ini.

Wednesday 14 January 2015

Tips Mencari Ilham Dan Idea Kraf

Pernahkah anda mendengar tentang Pinterest?


Pinterest adalah laman media sosial percuma yang menampilkan perkongsian foto pada Pinboard. Sebelum menggunakan Pinterest, kita dikehendaki mendaftar terlebih dahulu.

Di Pinterest, pengguna boleh pinkan foto dengan memuatnaik, menyimpan dan menguruskan foto tersebut pada satu koleksi yang dinamakan Pinboard. Jika ada pengguna lain yang berminat dengan foto yang kita pinkan, pengguna tersebut boleh pinkan semula pada Pinboardnya sendiri. Sama seperti konsep tweet dan retweet.

Bagaimanakah cara untuk menggunakan Pinterest?

Setelah mendaftar, kita perlu membuat

Wednesday 7 January 2015

Mesin Pemotong Felt: Sizzix Big Shot

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Tahukah anda bahawa kain felt boleh dipotong menggunakan mesin?

Hari ini saya ingin berkongsi tentang mesin yang menjadi idaman hati hampir setiap usahawan kraf tangan felt di Malaysia. Mesin ini diberi nama Big Shot dari jenama Sizzix. Selain Big Shot, Sizzix turut mengeluarkan mesin yang hampir sama fungsinya seperti Big Shot Pro, BIGkick, Vagabond dan Sophisticut.

Terdapat pelbagai jenis mesin pemotong dies di pasaran antarabangsa. Selain Sizzix, jenama lain yang turut popular di kalangan penggiat kraf adalah Spellbinder, Kreaxion dan Cuttlebug. Untuk mendapatkan mesin tersebut, anda boleh mendapatkannya dengan membuat tempahan terus melalui laman sesawang pengeluar mesin tersebut. Kadangkala ada juga usahawan kraf tempatan yang turut menjualnya.



Jika dua tahun lepas, agak sukar untuk mendapatkan Big Shot di pasaran tempatan. Harganya pula agak mahal ketika itu. Namun sekarang tidak lagi. Anda boleh mendapatkannya dengan mudah dari pembekal material kraf tempatan. Saya sendiri adalah salah seorang pembekal mesin Sizzix Big Shot di Malaysia.


Mesin Big Shot berukuran lebih kurang 14 1/4" x 12 3/8" x 6 5/8" dan mempunyai jaminan 3 tahun. Mesin ini bersifat mudah alih dengan berat 3.4 kg. Ia boleh dibawa ke mana-mana mengikut kesesuaian tempat bekerja. 1 set Big Shot terdiri daripada 3 item iaitu mesin Big Shot sendiri, platform pelbagai guna dan sepasang pad pemotong. Selain digunakan untuk memotong felt, ia boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai bentuk hiasan bagi pembuatan kad, buku skrap, hiasan rumah, quilting, kraf kertas dan projek kraf yang lain.


Satu perkara yang perlu anda ketahui tentang mesin ini, ia mestilah digunakan bersama mata pemotong pembentuk atau lebih dikenali sebagai 'die'. Tanpa die, Big Shot tidak mungkin dapat menjalankan fungsinya. Dalam entri seterusnya, insyaAllah saya akan berkongsi pula tentang dies.

Monday 5 January 2015

Kembali Bertugas

Alhamdulillah secara rasminya saya sudah kembali 'masuk bekerja'. Lokasinya masih dari rumah sambil dikelilingi anak-anak comel yang sudah bertambah menjadi 3 orang. Saya mulakan dengan aktiviti bisnes yang mudah seperti jualan fabrik felt, bahan keperluan asas kraf dan produk siap jahit. Perlu bagi saya untuk memanaskan enjin terlebih dahulu sebelum mula mengambil tempahan jahit produk felt semula.


Cabaran utama sekarang adalah tentang pengurusan masa. Selain mengusahakan bisnes kraf tangan felt, saya kini telah menjadi ejen bagi Sutra Wellness yang menghasilkan produk-produk aromaterapi keluaran Muslim bumiputera. Pada masa yang sama juga, saya menjadi guru kepada anak-anak untuk sesi sekolah di rumah atau homeschooling. Masa yang ada perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Memang ini lah impian saya. Bekerja dari rumah sambil mendidik anak-anak dengan tangan sendiri. Soal penat lelah saya ketepikan kerana saya sudah mula melihat hasilnya baik di dalam bisnes mahupun perkembangan anak-anak. Syukur Alhamdulillah. Segalanya berlaku dengan keizinan Allah.