Wednesday 29 October 2014

Cabaran Awal Bekerja Di Rumah


Detik awal keinginan saya untuk menjadi working-at-home-mama (wahm) tercetus ketika mengandungkan anak pertama. Waktu itu, saya sedang bekerja di dalam bidang penyelidikan.

Terlalu banyak perkara berbangkit yang bermain di fikiran. Pengaruh hormon yang tidak stabil juga barangkali turut menyumbang kegelisahan. Daripada soal penyusuan anak, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kewangan hinggalah ke perkembangan sosial. 

Semuanya bercampur-baur, meresahkan jiwa dan akhirnya terdetik di hati kecil: "Kenapa tidak saya sendiri saja yang menjaga anak ini nanti? Bukankah kebanyakan masalah itu akan selesai?".

Sesudah saya berfikir dengan mendalam, meminta pandangan suami dan ibu, disertai dengan solat istikharah memohon petunjuk daripadaNya, hati saya akhirnya lebih cenderung untuk berada di rumah. 

Saya bulat tekad untuk menjaga sendiri anak-anak yang bakal dilahirkan nanti. Namun terselit juga sedikit kegusaran tentang hal kewangan. Maklumlah saya dan suami baru setahun mendirikan rumah tangga. Saya lebih suka berkongsi susah senang bersama suami dalam membangunkan ekonomi keluarga. Maka ada keperluan bagi saya untuk merancang bagaimana saya boleh terus bekerja dari rumah.

Memegang segulung ijazah dan berpengalaman bekerja dalam bidang profesional rupanya menjadi faktor wujudnya cabaran awal bagi saya. Alhamdulillah suami awal-awal lagi sudah memahami dan memberi sokongan tatkala saya menyuarakan hasrat ingin mengusahakan perniagaan dari rumah. 

Namun di kalangan ahli keluarga dan saudara mara yang lain, ramai yang kurang bersetuju. Impian saya dipertikai dan saya diminta menimbang semula keputusan yang diambil sewajarnya. Maklumlah, kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan ahli akademik. Tiada seorang pun yang pernah terlibat dengan bisnes dari rumah.

Menjadi wahm dilihat seakan mustahil dilakukan. Satu demi satu soalan bernada negatif dilontarkan kepada saya. Hati terguris dan saya agak kecewa dengan respons yang diberi sedangkan saya mengharapkan sokongan mereka.

Saya tetap positifkan minda dan terus memandang ke hadapan bagi merealisasikan hasrat ingin menjadi wahm. Sokongan, restu dan doa suami serta ibu sudah cukup buat saya kuat untuk memulakan langkah pertama.

Menjadi wahm bererti saya perlu melepaskan gaji tetap bulanan yang selesa. Corak perbelanjaan saya berubah sekelip mata dan situasi itu agak mencabar pada mulanya. Serentak dengan itu, saya perlu lebih bijak berbelanja. Utamakan barang keperluan dan lupakan seketika barang kehendak. Dalam kekangan kewangan, saya menjadi lebih cermat, berhati-hati dan teliti menguruskan wang.

Walaupun suami berpendapatan tetap dan agak selesa, itu bukanlah alasan bagi saya untuk terus-terusan berbelanja tanpa kawalan. Keluarga kami bakal berkembang. Mahu atau tidak, simpanan untuk masa hadapan perlu ada. Bersungguh-sungguh saya merancang perbelanjaan bulanan rumah dan modal awal bisnes yang diusahakan.

Permulaan awal menjadi wahm, saya tidak terlalu mempunyai masalah dengan pengurusan masa. Anak baru seorang. Sifat bayi itu sendiri pula, lebih banyak tidur daripada terjaga. Urusan rumah tangga dan bisnes berjalan secara teratur.

Apabila mula mencecah usia enam bulan, bayi sudah mula mahukan lebih perhatian. Sudah pandai mengajak bermain dan sudah pandai menangis apabila ditinggalkan walau hanya sebentar, cabaran masa mula menguji jadual waktu seharian. Tempahan pelanggan yang semakin bertambah juga membuatkan saya mula tidak menang tangan.

Makan tidak sempat, rehat tidak cukup. Emosi saya pula mula terganggu dek pengurusan masa yang semakin kacau-bilau. Hal itu saya suarakan kepada suami tercinta. Beliau banyak menasihati dan mengingatkan kembali niat asal saya menjadi wahm.

Solusinya, saya hadkan tempahan jahitan dan menyiapkan tempahan di sebelah malam. Siang hari diluangkan sepenuhnya untuk anak. Hujung minggu atau hari cuti pula, suami banyak membantu menguruskan hal anak dan rumah. Jadi saya punya ruang dan peluang untuk menyiapkan tempahan.

Selain cabaran sokongan keluarga, pengurusan kewangan dan pengurusan masa, saya tidak terlepas dari cabaran pengurusan perniagaan. Untuk membina laman web, blog dan email khas perniagaan tidak menjadi masalah kerana latar belakang saya adalah dari bidang teknologi maklumat. Saya juga pernah berbelanja dan melakukan transaksi secara online.

Itu hanya membantu 10% sahaja daripada langkah awal membangunkan perniagaan. Banyak lagi selok-belok perniagaan yang saya belum mahir. Penetapan harga produk kraftangan juga menjadi cabaran. Apatah lagi untuk menguruskan akaun perniagaan. Mencari stok material kraf, mengira modal, mengira perbelanjaan, menguruskan stok material kraf yang dibeli, mengambil tempahan, merekabentuk kraf, menjahit seterusnya menghantar produk siap kepada pelanggan, semuanya dilakukan sendiri tanpa pembantu.

Terlalu banyak perkara baru yang perlu saya adaptasi dalam masa yang singkat kerana tidak disangka-sangka pelanggan semakin ramai. Berurusan dengan pelanggan di alam maya juga mempunyai cabaran tersendiri. Namun cabaran ini saya terima dengan hati terbuka dan saya banyak belajar daripada pengalaman.

Cabaran awal yang dilalui sebenarnya adalah satu proses untuk mematangkan diri supaya kita benar-benar jelas dan yakin dengan pilihan yang dibuat. Syukur, fasa kritikal yang amat mencabar emosi saya sudah pun berlalu.

Kini hanya pujian dan kata-kata positif menjadi halwa telinga. Ramai juga yang mula bertanya tips dan rahsia untuk menjadi wahm. Setelah lebih 3 tahun menjadi wahm, perniagaan seni jahitan kraf tangan felt yang diusahakan semakin dikenali ramai.

Saya akui memang amat mencabar apabila harus membuat dua tugasan penting serentak. Melayan anak-anak yang semakin membesar di depan mata dan mengendalikan bisnes yang semakin berkembang. Namun alhamdulillah saya tetap usaha positif dan gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang. Semuanya kerana keizinan Allah.

Hidup ini penuh cabaran. Cabaran adalah warna yang menghiasi dan mencorakkan kanvas kehidupan. Memang Allah jadikan dunia ini sebagai tempat untuk manusia diuji. Setiap ujian dan cabaran yang timbul, pasti wujud hikmah di sebaliknya.

InsyaAllah cabaran boleh diatasi dengan ilmu dan pengalaman. Berbahagialah andai kita tergolong dalam mereka yang tenang dan sabar menghadapi cabaran. Sesungguhnya Allah menjanjikan syurga sebagai ganjaran bagi manusia yang sabar.

Paling penting dalam menghadapi cabaran adalah permohonan doa secara terus-menerus kepada Allah Tuhan Yang Menciptakan kita, yang Maha Mengetahui apa yang terbaik di setiap langkah kita di dunia. Ketenangan dan kejayaan semuanya daripada Allah.

Saturday 11 October 2014

Tutorial Rantai Kunci Huruf (Keychain)

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu. 

Apakah aktiviti kalian semua bersama seisi keluarga? Hari ini saya ingin kongsikan satu lagi tutorial mudah yang boleh dilakukan bersama anak-anak seawal usia 7 tahun.


Bahan-bahan yang diperlukan: 

Kain felt keras pelbagai warna, pen penanda, gunting, gam, benang, jarum. mounting board, reben dan rantai kunci.

Cara-cara:

1. Potong kain felt berbentuk bulat sebanyak 2 keping dengan diameter 6 cm. Potong lagi sekeping kain felt berlainan warna dengan diameter 5 cm.

2. Lukis pola 1 huruf yang dimahukan, misalnya huruf I, A, M atau apa-apa saja huruf. Kemudian gunting mengikut huruf.

3. Ambil mounting board, lukiskan bulatan dengan diameter 5 cm dan guntingkannya. Pastikan gunting yang digunakan adalah

Friday 10 October 2014

Tutorial Kek Cawan Felt Bermagnet

Assalamualaikum semua. 

Tutorial kek cawan bermagnet hari ini menggunakan 3 jenis asas jahitan iaitu jahitan sembat, jahitan kia dan jahitan insang pari. Felt yang digunakan adalah jenis felt poliester (felt keras). Anda juga boleh menggunakan felt lembut untuk projek ini.


Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah melukis pola kek cawan di atas sekeping kertas. Kemudian tekapkan pola di atas kain felt mengikut warna kesukaan. Saya menggunakan felt kuning untuk bahagian bawah kek manakala felt biru sebagai topping kek.

Tandakan bahagian mata dan lukiskan garisan mulut. Buatkan lubang kecil di bahagian mata untuk memasukkan brads kecil berwarna hitam. Buatkan jahitan kia pada lukisan mulut menggunakan benang merah. 

Hiaskan bahagian topping kek dengan butang comel mengikut design kegemaran. Gamkan sedikit di bahagian belakang butang untuk menetapkan kedudukannya, diikuti dengan jahitan untuk mengukuhkan lagi butang agar tidak mudah tercabut.

Jahitkan jahitan jenis insang pari di sekeliling kepingan kain yang ditindan dua. Tinggalkan sedikit ruang kosong lebih kurang 3 cm untuk memasukkan fiber di dalamnya. Tolakkan fiber menggunakan kayu kecil supaya ruang di dalam kek cawan terisi penuh dan padat. Setelah itu, tutupkan ruang tidak berjahit tadi dengan meneruskan jahitan insang pari.

Akhir sekali, gamkan magnet di bahagian belakang kek cawan. Kek cawan ini sedia dilekatkan di mana-mana bahagian berlogam seperti peti sejuk dan papan kenyataan.

Anda boleh juga menggunakan kreativiti untuk menghasilkan design lain seperti buah-buahan atau sayur-sayuran. Nombor atau huruf bermagnet juga boleh dihasilkan melalui cara ini untuk dijadikan alat bantu mengajar anak-anak.

Selamat mencuba! :)

Thursday 2 October 2014

Entri Paling Kerap Dibaca

Alhamdulillah Oktober sudah pun tiba. Bila-bila masa sahaja dari sekarang, saya akan mula berehat panjang daripada aktiviti menjahit dan aktiviti berniaga.

Sehingga hujung September 2014, suka untuk saya menganalisa serba sedikit tentang minat pengunjung yang hadir ke blog seni kraftangan felt ini. InsyaAllah dengan mengetahui kecenderungan pembaca, saya akan berusaha untuk menulis lebih banyak entri yang berkaitan.

5 entri paling banyak dibaca setakat hari ini:

1) Bahan dan Peralatan Asas Permulaan Kraftangan Felt
2) Tips Mudah Mendapatkan Pola Atau Templat Kraf Felt
3) Tutorial 1: Keronsang Bunga Pompom Gulung
4) Tips Mudah Menajamkan Gunting
5) Tutorial 2: Bunga Felt Gulung (Die-Cut)

Sekali imbas, saya dapati ramai pengunjung blog suka membaca maklumat tentang asas permulaan kraftangan felt. Sebelum mula menjahit kraf felt sama ada hanya untuk suka-suka ataupun untuk tujuan berniaga, penting bagi kita untuk merancang bahan dan peralatan yang akan digunakan. Jadi, entri tersebut insyaAllah dapat memberi panduan dan gambaran awal sebelum mula menjahit.

Pengunjung juga suka membaca tips mudah dan tutorial untuk menghasilkan sendiri produk kraftangan felt. Tips yang saya tulis adalah berdasarkan pengalaman sendiri yang mencari penyelesaian terhadap sesuatu cabaran atau masalah berkaitan kraf. Saya percaya melalui perkongsian tips, pembaca yang lain bakal memperoleh manfaat yang sama. Tutorial pula ditulis dengan harapan agar perkongsian ilmu yang sedikit itu bakal menjadi saham untuk saya di Akhirat sana. Lebih banyak kita memberi, insyaAllah Allah pulangkan lebih banyak nikmatnya kepada kita.

Doakan suatu hari nanti, saya bakal hasilkan beberapa buah buku berkaitan seni kraftangan felt. InsyaAllah langkah awal bermula dengan e-book dan seterusnya buku fizikal. Harapan dan doa saya, dengan adanya buku-buku tersebut, lebih ramai wanita di Malaysia ini minat dan boleh menjahit kraftangan mudah, seterusnya mampu menjana pendapatan dari rumah.

Monday 29 September 2014

Tutorial Penanda Buku Felt

Alhamdulillah setelah mengetahui tips bagaimana untuk menghasilkan pola, hari ini saya kongsikan pula tutorial untuk memanfaatkan pola yang telah ada. Projek kraf ini amat mudah dan ringkas. Kanak-kanak pun boleh lakukannya.


Bahan-bahan yang diperlukan:

Kain felt yang siap dipotong mengikut pola kegemaran, butang, batang kayu berwarna-warni dan gam tembak. Jika tiada gam tembak, gam UHU juga boleh digunakan.

Cara-cara menghasilkannya:

Cantum dan gamkan kepingan-kepingan felt. Hiaskan dengan butang.


Gamkan bunga yang dihias butang tadi ke atas

Tuesday 23 September 2014

Tips Mudah Mendapatkan Pola/Templat Kraf Felt

"Kak Amal, kat mana nak cari template yang comel-comel?".
"Amal, template tu Amal lukis sendiri ke?".
"Ada jual tak template yang Amal guna?". 
"Font yang Kak Amal guna tu nak buat macam mana?"

Soalan-soalan seperti ini seringkali menerjah masuk ke ruangan inbox saya. Semuanya berkisar tentang bagaimana untuk mendapatkan pola atau template untuk dijadikan asas rekaan kraftangan felt.

InsyaAllah dalam entri kali ini saya akan kongsikan cara-cara yang biasa saya gunakan.

Ada 4 tips mudah untuk dapatkan pola yang diingini:

1) Lakar dan lukis sendiri pola dengan tangan.

Gunakan bakat semulajadi anda dalam bidang lukisan untuk

Thursday 18 September 2014

Ragam Pelanggan Online

Alhamdulillah Allah izin sudah empat tahun saya bergelar peniaga online setelah lebih sepuluh tahun hanya menjadi pelanggan online.

Pengalaman diri sendiri menjadi pelanggan sebenarnya banyak mencorak dan mempengaruhi cara saya mengendalikan ragam pelanggan yang pelbagai.

Ada pelanggan yang amat mudah berurusniaga, ada juga yang cerewet. Itu semua lumrah hidup manusia. Tidak dapat dielakkan. Malah perlu ditangani secara bijak.

Pelanggan yang mudah berurusan saya cirikannya seperti berikut:

  • Sudah membaca dan memahami dengan jelas setiap terma dan syarat syarikat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tempahan.
  • Membuat penyelidikan awal dengan membaca deskripsi album atau foto produk yang ingin ditempah.
  • Menunjukkan kesungguhan untuk membuat tempahan dengan menghantar mesej ke ruang peti mail untuk perbincangan lanjut.
  • Menyenaraikan dengan terperinci kuantiti dan butiran produk yang ingin ditempah.
  • Faham dengan harga produk kraftangan yang biasanya lebih tinggi dari harga produk kilang.
  • Menyelesaikan bayaran dalam tempoh 24 jam setelah invois diberi.
  • Memberi sepenuhnya kepercayaan dalam proses menyiapkan tempahan dengan tidak bertanyakan status tempahan setiap hari.
  • Sabar menunggu giliran memandangkan item yang ditempah adalah produk kraftangan yang memerlukan ketelitian dan mengambil banyak masa untuk menyiapkannya.
  • Syukur tidak terhingga andai setiap pelanggan yang datang, mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan di atas. Hati pun rasa senang dan tenang untuk menyiapkan tempahan. Saya sendiri mengamalkan perkara yang sama apabila membuat tempahan produk dari rakan-rakan penggiat seni kraftangan yang lain. Faham benar dengan situasi yang mereka lalui. Hampir sama dengan situasi sendiri.

Bagi peniaga online, tidak sah sekiranya tidak menghadapi cabaran karenah pelanggan. Saya sendiri menghadapinya hampir setiap hari. Perkara yang sama dari individu berbeza. Antara cabaran karenah pelanggan yang biasa saya hadapi:

  • Tidak faham terma dan syarat syarikat.
  • Mahu tempahan disiapkan segera.
  • Setiap hari menghantar mesej bertanyakan status tempahan.
  • Mempertikai harga jualan produk.
  • Minta diberikan diskaun dengan kadar yang tidak munasabah.
  • Membandingkan harga produk dengan peniaga lain walaupun jelas kualiti atau material produk peniaga lain tidak sama.
  • Barangan sudah dipos masih belum tiba ke tangan pelanggan atas masalah teknikal pihak pos, tetapi peniaga disalahkan.

Apabila menghadapi pelanggan sebegitu, seboleh mungkin saya akan bertenang terlebih dahulu sebelum membalas mesej pelanggan. Bimbang emosi mendahului akal fikiran memandangkan saya juga insan biasa yang punya hati dan perasaan.

Setelah bersedia, saya akan jelaskan sebaik mungkin kenapa situasi yang kurang menyenangkan pelanggan itu boleh atau mungkin terjadi. Biasanya selepas dijelaskan secara baik, insyaAllah pelanggan akan faham dan menerimanya secara baik.

Tanpa pelanggan, siapalah kita.

Justeru andai diuji dengan karenah pelanggan, anggaplah ia sebagai ujian dan teguran Allah untuk mematangkan diri kita dalam dunia bisnes. Saya doakan diri saya dan rakan-rakan bisnes online yang lain, sentiasa bijak, tenang dan terkawal emosi ketika berhadapan dengan cabaran seperti ini.

Senyum selalu. :)

Tuesday 9 September 2014

Tutorial Kerongsang Bunga Pompom Gulung

Alhamdulillah hari ini saya ingin kongsikan tutorial pertama, langkah-langkah menghasilkan sejenis keronsang bunga dari kain felt. Amat mudah kerana tidak memerlukan sebarang teknik jahitan. Hanya gunting, gam dan gulung sahaja.


Bahan dan alatan yang diperlukan:

Kain felt akrilik (felt lembut) atau felt poliester (felt keras), pensel penanda, gunting, gam UHU, gam tembak, pembaris dan pin kerongsang bulat.


Langkah-langkah membuatnya:

1) Ukur satu jalur felt berukuran 3 inci x 12 inci.
2) Potongkannya.
3) Sapukan gam di sepanjang satu sisi jalur tadi. Lipat dua.
4) Guntingkan di sepanjang bahagian berlipat. Hati-hati, jangan sampai putus.


5) Jalur felt yang sudah siap digunting di bahagian berlipat.
6) Gamkan sedikit di hujung kain dan gulungkannya sehingga

Monday 8 September 2014

Tutorial Bunga Felt Gulung (Rolled Felt Flower)

Isnin yang produktif. Alhamdulillah.

Dalam Tutorial 1, kita sudah pun belajar menghasilkan satu jenis bunga felt yang dipotong sendiri secara manual menggunakan tangan. Kali ini kita belajar pula cara menghasilkan dua jenis bunga, di mana bentuk bunganya dipotong menggunakan mesin pemotong felt.

Felt yang digunakan adalah jenis felt lembut atau akrilik.


Bahan dan alatan yang diperlukan:
Kain felt, gunting dan gam. Juga perlu ada mesin pemotong felt Big Shot dan mata pemotong (cutting dies) berbentuk bunga.


Bunga 1: Ros

Langkah-langkah menghasilkan bunga ros:
1) Ambil sekeping felt yang sudah dipotong. Gamkan sedikit pada hujungnya.
2) Mulakan gulungan.
3) Gulung secara arah membulat. Pastikan gulungan itu kemas di bahagian atas dan bawah supaya terhasil bentuk ros.
4) Di akhir gulungan, gamkan untuk menutup bahagian bawahnya.
5) Potong sedikit felt berbentuk bulat untuk menutup dan mengemaskan lagi bahagian bawah bunga.
6) Bunga ros yang sudah siap.


Bunga 2: Rolled Mum

Langkah-langkah menghasilkan bunga rolled mum:
1) Ambil 2 keping felt sama bentuk yang sudah

Saturday 6 September 2014

Paparan Media: Majalah Ibu & Anak September 2013







Alhamdulillah telah disiarkan di dalam:

Majalah: Ibu & Anak
Edisi: September 2013
Terbitan: Utusan Karya

Terima kasih sekali lagi buat Puan Norhafiza Mohd Zain dan jurugambar Cik Nur Nabila Khalid yang telah hadir bagi merakamkan foto produk-produk kraftangan Amal Creative. :)

Thursday 4 September 2014

Persiapan Menyertai Booth Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2014

Sepanjang minggu ini saya sibuk menyiapkan produk-produk kraftangan felt sempena sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia Peringkat Kebangsaan 2014. Tiga produk pilihan semuanya berkaitan dengan ibu dan bayi. Peluang menyertai booth ini baru sahaja saya perolehi minggu lepas jadi saya agak kesuntukan masa untuk menyiapkan lebih banyak produk.

Rantai kunci "I Love BF".

Bunga-bunga yang baru digulung menggunakan felt lembut. 
Daun-daun pula menggunakan felt keras.

Himpunan baby headbands dengan bunga pelbagai warna dan bentuk.

Keronsang yang diperbuat daripada reben. 

Baby headband menggunakan guna lace yang mesra kulit kepala bayi. Tidak meninggalkan kesan kerana tidak ketat. Muat elok untuk bayi 3 bulan ke atas. Untuk bayi baru lahir semestinya agak longgar. Apabila memakai headband ini, bayi mungkin tidak perasan ada headband di atas kepalanya. 

Keronsang pula saya gunakan reben pelbagai corak. Apabila dipinkan di tudung, ibu tidak perlu risau muka anak calar seperti menggunakan pin besi biasa yang berkerawang. Mesra bayi. Cara penjagaannya seperti keronsang lain juga. Harus simpan elok-elok di dalam bekas bertutup untuk elak habuk terkumpul di besi pin dan harus elakkan dari terkena air secara terus untuk mencegah karat.

Cara Jahitan Sembat

Jahitan Sembat

Digunakan untuk mengekalkan lipatan.

Cara jahitan:

1) Mulakan jahitan dengan jahitan kia di bawah lipatan.
2) Dijahit kiri ke kanan dengan jahitan menyerong pada sudut 
3) 30 darjah di sebelah dalam.

Jahitan ini halus, kukuh, sekata dan boleh dilihat pada sebelah luar kain.

Wednesday 3 September 2014

Cara Jahitan Insang Pari

Jahitan Insang Pari

Digunakan untuk mengemaskan tepi kain.
Digunakan sebagai jahitan perhiasan.

Cara jahitan:

1) Mulakan dengan jelujur halus menegak pada sebelah kiri.
2) Jarum menegak tepat dan ke arah penjahit
3) Jahit dari kiri ke kanan dengan benang bergelung di bawah jarum.

Tuesday 2 September 2014

Cara Jahitan Jelujur

Jahitan Jelujur

Digunakan untuk menyambungkan dua atau lebih kepingan kain jika tiada mesin jahit.
Mudah dicabut jika dijahit kasar

Cara jahitan:

1) Mulakan dengan jahitan kia.
2) Jahit dari kanan ke kiri dengan mata jahitan yang halus dan sama besar dengan jaraknya 3-5 mm
3) Akhirkan juga dengan jahitan kia

Monday 1 September 2014

Jenis Gunting Kraf

Kerja memotong kain adalah kerja asas paling penting bagi seorang tukang jahit. Tak kisah lah anda mahu potong kain mudah urus seperti felt atau kain lemah gemalai seperti chiffon. Anda tetap perlukan gunting yang sesuai untuk kain yang akan dipotong. Jika betul potongannya, jahitan dapat diteruskan. Andai berlaku sebaliknya? Mungkin anda terpaksa menghadapi cabaran besar.

Pada awal penglibatan saya dalam dunia kraf tangan felt, saya hanya gunakan dua jenis gunting. Gunting biasa untuk kertas dan gunting besi yang kecil untuk kain felt. Cukuplah dua jenis ketika itu memandangkan saya hanya mahu mencuba dahulu. Setelah beberapa bulan menjahit, barulah saya perasan wujudnya jenis-jenis gunting lain yang boleh membantu kerja kraf. 

Kiri: Gunting kadbod untuk memotong kertas yang tebal.
Kanan: Gunting kain cotton, flannel, fleece dan felt. Memotong kain yang nipis dan sederhana tebal.

Dari kiri: Gunting kertas untuk memotong kertas nipis, gunting mata melengkung untuk memotong bentuk bulat/bujur dan gunting besi kecil untuk memotongan kepingan felt yang kecil.

Gunting mata melengkung: Jika dilihat dari sisi, akan jelas kelihatan hujung matanya yang melengkung. 

Atas: Gunting bilah berbentuk zigzag. Menjadikan potongan kain felt lebih menarik. 
Bawah: Gunting bilah berbentuk scallop. Juga untuk menghasilkan potongan yang menarik.

Jenis-jenis gunting yang saya gunakan untuk kraf tangan felt.

Walaupun koleksi gunting ini seakan sudah mencukupi, namun masih ada satu jenis gunting yang belum saya miliki. Gunting 100%  logam berat yang biasanya dimiliki oleh tukang jahit profesional. Belum ada keperluan mendesak untuk saya membelinya. Harganya juga agak tinggi setanding dengan kualiti potongan kain jika menggunakannya.

Semoga suatu hari nanti saya mampu memiliki gunting idaman hati tersebut.

Cara Jahitan Kia

Jahitan Kia

Digunakan untuk menyambungkan kain bagi menggantikan jahitan mesin.
Digunakan untuk memulakan dan mengakhiri mata jahitan.

Cara jahitan:

1) Jahit dari kanan ke kiri dengan mata jahitan (anggaran 3-5mm).
2) Jahitan pertama seperti jelujur halus.
3) Kemudian jarum dibawa balik ke jahitan pertama dan dijahit semula ke hadapan.

Ia rapat, kukuh dan kelihatan seperti jahitan mesin jahit di sebelah luar manakala di sebelah dalam seperti jahitan batang.

Saturday 23 August 2014

Jenis Jahitan Kraf Felt

Jenis jahitan asas terbahagi kepada dua:

(1) Jahitan sementara
Jelujur halus, jelujur kasar dan jelujur serong.

(2) Jahitan kekal
i) jahitan penyambung: jahitan kia, jahitan halus dan jahitan mesin.
ii) jahitan pengemas: sembat halus, sembat susup, jahitan insang pari, jahitan silang pangkah dan jahitan lilit ubi.
iii) jahitan hiasan: jahitan sulaman, jahitan quilting dan jahitan tampal hias.

Untuk menjahit kraf felt sebenarnya adalah mudah dan tidak sesukar yang disangka. Kita hanya perlu mengetahui 4 jenis jahitan asas ini:

1) Jahitan kia
2) Jahitan jelujur
3) Jahitan insang pari
4) Jahitan sembat


Kebanyakan daripada kita biasanya sudah pun mendapat pendedahan awal dan mempelajari keempat-empat jenis jahitan ini sewaktu di sekolah menengah.

Untuk mendapatkan jahitan yang benar-benar halus, cantik dan kemas, kita perlu kerap berlatih supaya lebih mahir. Maksudnya di sini, perlu selalu menjahit untuk mendapatkan rentaknya.

Dalam entri seterusnya nanti, saya akan kongsikan langkah demi langkah 4 jenis jahitan asas ini. Setelah mahir kesemuanya, yang diperlukan hanyalah idea dan kreativiti tersendiri untuk menghasilkan pelbagai produk kraf felt.

Friday 22 August 2014

Sesi Rakaman Bersama TV Al-Hijrah

Alhamdulillah. 15 Jun 2012 adalah antara tarikh kenangan termanis sepanjang saya melibatkan diri dalam bisnes kraftangan felt. Terkejut dan tidak pernah menyangka bahawa saya akan mendapat tawaran untuk terlibat dalam sesi rakaman rancangan Gen 21 terbitan TV-AlHijrah, sebuah program santai yang memberi fokus kepada remaja. Rakaman ini disiarkan di dalam slot Remaja dan Bisnes.

Saya sempat bertanya kepada Cik Izyan, penolong penerbit rancangan, bagaimanakah Amal Creative ditemui? Jawabnya, melalui carian Google yang membawanya ke blog saya. Sejak itu saya sedar tentang kepentingan dan kegunaan blog sebagai medium yang amat berkesan untuk membina jenama dan mempromosi produk bisnes.

Sesi rakaman berlangsung selepas waktu Zohor. Sebelum itu, Cik Izyan dan Cik Elly membuat persediaan dengan berbual-bual sambil menerangkan kepada saya bagaimana rakaman akan dibuat dan apakah soalan-soalan yang bakal ditanya ketika ditemu bual. Anak sulung saya yang masih kecil ketika itu, dibawa oleh suami masuk ke bilik supaya tiada gangguan bunyi ketika rakaman dibuat. Kipas juga ditutup untuk mengelakkan gangguan bunyi angin. Hingga begitu sekali caranya. Baru saya tahu.

Ada tiga bentuk sesi rakaman. Sesi awal dimulakan dengan sembang santai bersama hos sambil menceritakan produk-produk kraftangan felt dari Amal Creative. Diikuti dengan sesi langkah demi langkah menghasilkan keronsang felt. Kemudian ditemu bual tentang bagaimana saya memulakan bisnes Amal Creative. Dalam masa yang singkat, banyak sebenarnya yang saya kongsikan. Antaranya, bilakah bisnes ini dimulakan, mengapakah kraftangan felt menjadi pilihan, berapakah modal awal untuk menjalankan bisnes ini, apakah jenis produk yang dapat dihasilkan dengan felt, perbezaan fabrik dan macam-macam lagi.

Antara produk keluaran Amal Creative yang disediakan untuk sesi rakaman.

Bersama hos kecil molek, penolong penerbit dan jurukamera rancangan Gen 21.

Sekitar persediaan rakaman dan temu bual.

Syukur Alhamdulillah, terima kasih ya Allah di atas peluang ini. Terima kasih Cik Nurizyan selaku penolong penerbit yang pada awalnya menghantar emel dan mengatur janji temu sesi rakaman. Buat Cik Elly hos yang ramah dan mesra, terima kasih kerana begitu bijak berkomunikasi dan natijahnya berjaya mengurangkan rasa gementar saya yang pertama kali ditemu ramah untuk siaran rakaman televisyen. Terima kasih juga buat jurugambar profesional yang cekap menjalankan tugas. 

Sesungguhnya, banyak pengalaman di belakang tabir yang saya pelajari secara tak langsung sepanjang petang sesi rakaman dibuat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Rakaman ini disiarkan pada Sabtu 23 Jun 2012 dalam episod terakhir rancangan Gen 21. Saya sempat merekod video siaran untuk dikongsi bersama ahli keluarga.

Wednesday 20 August 2014

Stok Baru Butang Kraf

Alhamdulillah hari ini stok butang yang dipesan dari pembekal tiga hari lepas pula selamat tiba di rumah. Kebiasaannya, anak-anak akan teruja berebut mahukan bungkusan yang posmen beri. Tidak sempat saya menutup kembali pintu rumah. Bungkusan ditarik. Soalan bertalu-talu keluar dari mulut comel itu.

Wafiy: Ni barang office Mama ke? Mama beli ke? Mama beli apa?

Mama: Ya sayang. Mama beli buttons. Nanti Mama nak jual semula.

Wafiy: Kenapa nak jual? Nak tengok, nak tengok!

Begitu lah soalan Wafiy setiap kali bungkusan baru tiba. Anak-anak bagai sudah mengerti serba sedikit perjalanan 'kerja' Mama di rumah. Setiap soalan yang diajukan adalah peluang bagi saya mendedahkan mereka dengan dunia perniagaan.

2 kategori butang pelbagai warna dan corak.

Sebelum menyimpan butang-butang yang diterima, saya biarkan anak-anak memegang dan bermain seketika. Butang yang berwarna-warni sememangnya mencetuskan sifat ingin tahu anak kecil. Setelah mereka puas membelek, barulah saya ambil dan simpan. Ini adalah cara saya mengelakkan anak-anak daripada senyap-senyap masuk ke makmal jahitan dan menyelerakkan koleksi butang tanpa izin.

Melihat butang yang berwarna-warni bagaikan sebuah terapi bagi saya. Ceria dan bertenaga. Itu yang saya rasakan setiap kali masuk ke makmal jahitan dikelilingi ribuan koleksi butang pelbagai warna dan reka bentuk. Saya percaya, setiap satu warna itu mencetuskan aura positifnya tersendiri. Mungkin sebab itulah saya masih belum pernah jemu dengan 'cinta baru' saya ini.

Tuesday 19 August 2014

Tips Menajamkan Gunting

Gunting yang sudah lama digunakan biasanya akan menjadi kurang tajam. Apabila menggunakannya pun sudah terasa tidak puas hati. Gunting 'tak makan' kain kata orang. Nak dibuang atau ditukar ganti, itulah gunting kesayangan sejak sekian lama. Sudah serasi benar di jari. Lagipun kondisi gunting masih elok, cuma masalahnya tidak tajam seperti dulu.

Jadi bagaimanakah cara untuk menajamkan semula gunting?

Di ruangan ini saya ingin kongsikan satu tips mudah. Hanya menggunakan botol atau balang kaca yang sudah sedia ada di rumah. Contohnya botol kicap, botol sos, botol minyak dan sebagainya.

Ambil sebuah botol/balang kaca dan gunting yang ingin ditajamkan.


Kemudian

Sizzix Bigshot For Sale

Assaamualaikum.
Hello dan selamat pagi.

Mahu dapatkan Sizzix Bigshot idaman hati? :)



Sunday 17 August 2014

Bahan Dan Peralatan Asas Mula Kraf Felt

Bagi anda yang berminat dan ingin mula menjahit kraf tangan felt, berikut adalah panduan senarai bahan dan kelengkapan asas yang perlu anda sediakan.


Bahan-bahan:

1) Kain felt
Sebelum ini saya ada sebutkan tentang dua jenis felt yang biasa digunakan di Malaysia. Felt poliester dan felt akrilik. Jadi pilihlah jenis kain yang sesuai mengikut projek jahitan yang bakal dijalankan.

2) Fiber
Digunakan untuk mengisi ruang dalam pola rekaan yang dijahit. Bersifat ringan dan boleh dibeli di kedai alat jahitan dengan harga yang murah. Jika tiada fiber, kekabu juga boleh digunakan.

3) Mounting board atau kadbod keras
Jika ingin menghasilkan rantai kunci nama atau bingkai gambar misalnya, mounting board ini digunakan di bahagian dalam kain felt sebelum dijahit.

4) Benang
Untuk jahitan felt, penggunaan benang jahit kain biasa sudah memadai. Jika ingin hasilkan kesan jahitan yang nampak tebal, gandakan sahaja lapisan benang yang ingin digunakan.

Peralatan-peralatan:

1) Gunting
Peralatan paling penting yang digunakan untuk memotong felt. Gunting haruslah dipastikan sentiasa tajam supaya

Saturday 16 August 2014

Kraf Tangan Felt

Kraf tangan felt adalah seni jahitan kraf menggunakan kain felt.

Biasanya kain felt lebih sesuai dijahit secara manual menggunakan tangan. Namun ada ketika, penggunaan mesin jahit juga dapat menghasilkan produk yang menarik dan amat membantu dalam penghasilan produk felt berskala besar.


Sejarah Felt

Kain felt dikatakan antara kain tertua yang wujud sejak zaman prasejarah. Oleh kerana kain felt tidak ditenun dan tidak memerlukan mesin tenunan dalam proses penghasilannya, maka masyarakat purba dapat membuatnya dengan mudah. Ada suku nomad yang menghasilkan pakaian dan khemah menggunakan kain ini.

Perbezaan Kain Felt

Secara umumnya di Malaysia, kain felt yang digunakan terdiri daripada 2 jenis:

1) Felt poliester (polyester felt)

- Bersifat keras, tahan lasak dan kurang berbulu.
- Sesuai untuk menghasilkan rantai kunci, sarung telefon bimbit, bingkai gambar, hiasan dekorasi rumah dan hiasan di baju.


2) Felt akrilik (acrylic felt)

- Bersifat lembut, mudah dibentuk dan agak berbulu.
- Sesuai untuk menghasilkan bunga hiasan, buah-buahan 3D, permainan kanak-kanak dan bantal.


Kedua-dua jenis kain ini adalah

Monday 11 August 2014

Polyester Felt For Felt Craft

HIGH QUALITY POLYESTER FELT




HIGH QUALITY POLYESTER FELT (felt keras)

1/4m 50cm x 45 cm RM4.00/pc.
Full set all 35 colours RM140.00
Free 100pcs assorted buttons.

1/9m 33cm x 30cm RM2.00/pc.
Full set all 35 colours RM70.00
Free 50pcs assorted buttons.

15cm x 15cm RM1.20/pc.
Full set all 35 colours RM40.00

Harga tidak termasuk poslaju.
Kos penghantaran poslaju bermula dari RM7.00 untuk 500g pertama.

Untuk tempahan,
SMS 0192111934.
Atau email ke amalcreative85@gmail.com

Mohon berikan maklumat 
KOD WARNA, SAIZ dan KUANTITI kain 
apabila membuat tempahan.  Terima kasih~

Monday 7 July 2014

Felt Craft Class On Ramadan

Assalamualaikum and hello~
PERSONAL BASIC FELT CRAFT CLASS ON WEEKEND?

Ramadhan Special.


Saturday/Sunday.
9am to 11am.
Bandar Baru Bangi.
RM50.00/student.

Module: Felt name keychain and baby headbands by using Sizzix Bigshot machine and dies.

Please provide following details: 

Name, contact number and your preferred date.

Text to 0192111934 or
Email to amalcreative85@gmail.com

Salam Ramadhan,
Amal@AmalCreative
https://www.facebook.com/amalcreative
http://www.amalcreative.com

Thursday 3 July 2014

Salam Ramadhan 1435H

RAMADHAN KAREEM~

Mohon maaf segala salah silap. Doa banyak-banyak kepada Allah agar diberi kesihatan yang baik, kekuatan dan kesabaran untuk melipatgandakan ibadah di bulan amat barokah ini.

Utamakan ibadah khusus, banyakkan tambahan ibadah sunat. Kerja menjahit dan berniaga pun masih perlu diteruskan mengikut kemampuan dan kelapangan masa.

InsyaAllah bila niat kita betul dan baik, Allah akan bantu datangkan rezqi tak disangka-sangka.


-Amal@AmalCreative-


Tuesday 4 March 2014

Dies Cut Felt Flower

Assalamualaikum. Hai semua.

Nak jimat masa dah mahukan bunga siap cantum???
InsyaAllah BOLEH. :)
Kami suka nak bantu.

Beritahu berapa banyak (pcs) dan warna apa.
Sertakan kod nombor sekali. Mudah kita bincang.

Semuanya dicantum secara manual dengan jari-jemari.
Bukan diproses dengan mesin kilang.
Bunganya di awal saja potong guna mesin BigShot.
Proses lilit dan cantum, kami buat manual.
Perlu masa secukupnya jika tempahan pukal.


Untuk pertanyaan dan perbincangan lanjut,
boleh whatsapp Amal 010 903 4560.

Friday 14 February 2014

Felt ID Card Holder

Assalamualaikum.

Design terbaru dari Amal Creative.
ID CARD HOLDER.









Harga bermula dari RM18.00 seunit termasuk lanyard.
Tambahan nama: caj tambahan 40 sen setiap huruf.
Maksimum 4 atau 5 huruf.

Untuk tempahan, pm di Amal Creative page inbox.
Atau email amalcreative85@gmail.com.

MAL@AmalCreative